4 in 1 :P

4 in 1 :P

Saturday, December 31, 2011

Pursuing the Perfect


Lahirnya kita ke dunia ini bersih, bersih dari dosa, bersih dengan akhlak terpuji, bersih dengan puji-pujian, bersih dengan kasih-sayang, dan bersih dengan reputasi yang mengkagumkan. Kita menangis dengan penuh keberanian, bersuara melalui deria suara dan tangisan air mata.

Dunia kita ketika lahir bagai sebidang kain yang kosong, belum dilukis, dicorak dan diwarnakan. Usia kita makin meningkat dari sehari ke sehari lalu memberi warna pada kain lukisan itu. Tetapi setiap langkah kita ditemani dan dipengaruhi orang-orang sekeliling kita terutamanya ibu bapa kita.

Ibu bapa bagai pelukis latar asal yang mencorak gambaran awal lukisan kehidupan kita. Namun, apabila kita jauh dari ibu bapa, kitalah yang menentukan kehidupan yang kita mahukan. Pesanan dan pengajaran yang baik diselami oleh diri kita ini akan membawa kita untuk memilih jalan yang baik untuk teruskan kehidupan.

Sedar tidak sedar, kita melalui kehidupan dengan mencari kesempurnaan dan kebahagiaan. Kesempurnaan seharusnya boleh diperoleh. Begitu juga dengan kebahagiaan.

Kita mengecapi kesempurnaan dari dua arah yang berbeza iaitu dari arah menambah melakukan kebaikan dan mengurangkan melakukan kesilapan. Arah mana yang lebih mudah adalah terpulang kepada setiap individu. Walau bagaimanapun, kita perlu usahakan dari kedua-dua arah itu.

Ketika kita meningkat dewasa, kita masih dalam proses pembelajaran yang meluas. Melakukan kesilapan antara cara kita mengenal kehidupan tetapi kita diingatkan untuk tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka ini adalah arah mengurangkan melakukan kesilapan.

Seolah-olah ketika menjawab soalan peperiksaan. Pada asalnya kita perlu menjawab semua soalan dengan betul, tetapi kesilapan yang mengurangkan markah peperiksaan. Maka perlu bagi kita untuk kurang melakukan kesilapan.

Apatah lagi jika kita pernah menjawab soalan yang sama. Inilah keadaan apabila kita mendekati kematangan dalam kehidupan, rencah kehidupan kita telah kenal maka kita perlu mengelak dari melakukan kesilapan.

Ketika usia kanak-kanak, kita sering dipuji apabila melakukan kebaikan. Begitu juga apabila kita melihat anak-anak kecil yang rajin, kita merasa teruja dan memuji-muji mereka.

Ini kerana, kehidupan kanak-kanak terjurus kepada eksplorasi kehidupan dan lebih jinak kepada permainan. Oleh itu, apabila kebaikan dilakukan, maka kita merasakan sesuatu kelainan lalu hati mudah tersentuh dan mulut mudah memuji.

Bayangkanlah, jika sifat kanak-kanak dan kehidupan kanak-kanak itu diteruskan hingga remaja dan dewasa. Meskipun kita mungkin tidak melakukan kesilapan, tetapi kita tidak lagi dipandang baik dan mendapat tempat dalam masyarakat serta memiliki jiwa yang kosong.

Itulah hakikatnya, apabila usia meningkat, kita perlu menambah amalan kebaikan kerana ia mengisi jiwa yang kosong dengan keyakinan, peribadi yang baik dan memberi kebaikan kepada masyarakat.

Kesempurnaan seharusnya boleh dicari dan boleh dikecapi. "No one perfect" tidak seperti dijangkakan. Malah, ungkapan itu hanya tepat bagi relatif antara seorang manusia dengan manusia yang lain. Kesempurnaan yang kita cari adalah dari definasi dari diri kita sendiri.

Definasi itu pula harus dibimbing oleh ajaran agama Islam yang terpuji. Fitrah manusia menolak sesuatu yang mustahil untuk diusahakan. Maka, jika tiada siapa yang mampu jadi sempurna, kenapa perlu kita usahakan?

Oleh kerana itu, kesempurnaan seharusnya boleh dicapai, maka wajar diusahakan.

Tentulah, setiap kali langkah lukisan kehidupan kita disentak oleh dugaan dan cabaran. Itu perkara biasa. Diri-diri yang mengenali hakikat ini akan mampu tersenyum apabila dugaan itu tiba. Ingatlah, dunia ini cukup luas untuk kita hidup, kerana dengan kelebihan dunia ini kita memiliki sosial dan kekeluargaan.

Berganding tanganlah ketika senang dan susah terutamanya sesama ahli keluarga. Menghadapi dugaan dan cabaran bersama sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan akan memudahkan laluan kehidupan kita. Maka, jagalah perhubungan siratulrahim dan hargai mereka ketika senang dan susah.

Agama Islam juga menganjurkan untuk kita saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan melarang dari kemungkaran berlaku. Ternyata kehidupan kita dipengaruhi oleh hubungan sesama manusia ini. Apabila difikirkan, kehidupan kita lebih sukar dan mungkin sering kali melakukan kesilapan apabila kita hidup keseorangan di bumi Allah S.W.T ini.

Allah S.W.T memberi kita peluang untuk hidup di muka bumi Allah S.W.T dan ketetapannya adalah ketentuan yang pasti berlaku ketika perjalanan kita menuju kematian.

Maka, kita wajar mencari kesempurnaan dalam kehidupan; menjadi seorang hamba Allah S.W.T yang sempurna, menjadi seorang rakan yang berpesan-pesan ke arah kebaikan, menjadi seorang anak yang menyempurnakan kehidupan ibu bapa dengan kebahagiaan, menjadi seorang suami atau isteri yang menyempurnakan nafkah serta tanggungjawap, menjadi seorang ayah atau ibu yang mendidik serta membimbing anak ke arah kesempurnaan akidah, akhlak dan ilmu pengetahuan dan menjadi individu yang berguna kepada masyarakat serta berkorban demi agama Allah S.W.T tercinta.

Apabila kita mencapai kesempurnaan yang kita mahukan, ketika itulah kita mencapai kejayaan di dunia. Sempurnakan ia menjadi kejayaan di Akhirat.

Marilah berganding bahu mengejar kesempurnaan bersama-sama. Now everyone can be perfect!

Saturday, July 2, 2011

Sepuluh nasihat imam HASSAN AL BANNA....



‎1. Apabila mendengar azan, segeralah mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekali pun. 2. Bacalah al-Qur'an, tatapilah buku-buku, pergilah mendengar perkara-perkara yang baik, amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. 3. Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam. 4. Janganlah banyak bertengkar kerana pertengkaran kosong tidak mendatangkan kebaikan. 5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram. 6. Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara. 7. Janganlah bercakap lebih nyaring daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar kerana percakapan yang nyaring adalah resmi yang sia-sia dan boleh menyakiti hati orang. 8. Jauhilah daripada mengumpat peribadi orang dan mengecam sesebuah; dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan. 9. Berkenal-kenalanlah dengan setiap Ikhwan Muslimin yang ditemui walaupun dia tidak meminta saudara berkenalan dengannya… asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan. 10. Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada; oleh itu tolonglah saudaramu agar mereka dapat menggunakan masa dengan berfaedah; dan jika anda mempunyai tugas sendiri, ringkaskanlah pelaksanaannya.

Sunday, May 1, 2011

Mencipta Masa Depan


Memang mudah terlintas maksud turutan perkataan tersebut di dalam minda kita.

Namun adakah ia sama dengan pemikiran orang lain?

Sudah tentu ianya berbeza dan sering bercanggah antara satu sama lain.

Dalam pada itu sebenarnya telah wujud persamaan antara perbezaan pemikiran tadi.

Walau bagaimanapun mungkin anda boleh bersetuju dengan saya sekiranya saya mengatakan maksud yang sebenar bagi perkataan-perkataan tersebut adalah dengan satu perkataan iaitu cita-cita.

Cita-cita membawa maksud harapan dan impian yang cuba direalitikan oleh setiap insan yang bergelar manusia pada masa hadapan.

Ada bermacam cita-cita yang boleh kita impikan.

Doktor, guru, arkitek, usahawan berjaya, kerani, dan banyak lagi pekerjaan yang sering kita impikan.

Namun begitu, ada juga manusia yang bercita-cita sesuatu perkara yang negatif contohnya merompak, melepak, menganggur, menyemak tepi kaki lima, kutu rayau, sekadar berfoya-foya, raja judi, perogol dan sebagainya.

Semua yang disenaraikan ini adalah berkaitan dengan cita-cita makhluk yang bergelar manusia.

Cita-citalah yang mempengaruhi seseorang manusia itu untuk belajar.

Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai keinginan untuk menjadi seorang guru.

Walau bagaimanapun, syarat untuk menjadi seorang guru mesti memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Untuk memiliki ijazah sarjana muda pula kita harus melanjutkan pelajaran ke universiti terlebih dahulu.

Seseorang itu juga perlu menghabiskan pelajarannya di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dahulu sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Begitulah selanjutnya sejak daripada peringkat tadika lagi.

Sememangnya ada turutan tersebut dalam meniti kehidupan.

Namun, adakah turutan itu terasa kelazatannya? Kelazatan di sini bermaksud sejauh mana kita berusaha menempuh hidup yang diimpikan itu.

Sesungguhnya impian tidak semestinya tercapai.

Namun ia tidak mustahil untuk dicapai. Hanya fikiran yang menentukan keberjayaan kita memperoleh apa yang kita inginkan pada masa depan.

Di dalam liku-liku hidup ini, berusahalah mengikut landasan dan keperluan yang betul.

Bukan sahaja kita akan memperoleh impian yang sekian lama kita simpan, kita juga akan memperoleh kenikmatan dan juga kebahagiaan di dalam hidup ini.

Namun, sebagai manusia sudah pasti ada yang membataskannya.

Pastikan ia mengikut landasan syariat yang betul dan tidak menyeleweng supaya hidup bermasyarakat sentiasa dalam keadaan seimbang dan harmoni senantiasa.

InsyaAllah...

8 Aspek Kebahagian Hidup

Semenjak 11 tahun yang lalu, misi hidup saya adalah untuk menjadi the best I can be and live life to the fullest. Pertama kali saya menulis misi tersebut, saya sendiri tidak jelas bagaimana caranya untuk jadithe best mahupun untuk live life to the fullest.

Namun, benarlah seperti yang dikatakan oleh Jack Canfield dalam bukunya iaitu, "If A is where you are now and B, is where you want to go, then it is just a straight line. Don't ask how to get there because the how will come when you know where you want to be". Malah, beberapa buku seperti The Secret, Millionaire Mindset, Awaken the Giant Within dan banyak lagi turut menekan betapa penting mempunyai misi dan visi dalam hidup.

Alhamdullilah, dalam tempoh 11 tahun ini, daripada pembacaan dan berkawan dengan individu-individu hebat, saya dapati, bagi menjadi diri yang terbaik, saya perlu seimbang dalam 8 aspek penting dalam hidup. Aspek ini merangkumi emosi, fizikal,spiritual, intelektual, kewangan, keluarga, karier dan komuniti. Berikut dijelaskan setiap aspek (tanpa keutamaan). Ingin dimaklumkan penjelasan ini hanya berdasarkan pembacaan dan ilmu yang dikutip dari beberapa individu hebat yang saya temui. Saya akur, penjelasan ini ada kekurangannya.

Emosi

Selama ini, saya sering meletakkan diri terutama emosi di tempat kedua. Saya beranggapan adalah selfish jika saya mendahului emosi sendiri berbanding orang lain. Namun, semakin dewasa, saya dapati, emosi diri sama penting untuk dijaga. Ia memberi impak pada penyerapan ilmu, ketahanan fizikal dan elemen-elemen lain dalam hidup. Pada masa yang sama, ilmu yang diserap mampu memantap dan mematangkan emosi semakin usia meningkat.

Fizikal

Ramai yang mengukur kebahagiaan dari simbol-simbol seperti aset yang dimiliki dan pada 'besar gelaknya' seseorang. Namun, betapa malangnya pada mereka yang mempunyai aset yang banyak dan 'gelak yang besar' tetapi kesihatan tidak pernah dijaga. Pemakanan, senaman dan pemantauan kesihatan amat penting untuk menikmati hidup yang cemerlang.

Spiritual

Tiga minggu lepas di satu kursus, kami ditanya perbezaan antara believe dan faith. Saya termanggu seketika untuk mencari perbezaan. Menurut penceramah itu, believe adalah apabila seseorang itu ditunjukkan bukti, barulah dia akan percaya manakala faith adalah tahap kepercayaan walaupun tanpa bukti, mereka percaya ia wujud atau sesuatu itu akan berlaku. Menyerap kata-kata itu, keyakinan kita pada janji Tuhan mengenai orang-orang yang sabar dan orang-orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan adalah kunci untuk ketenangan hidup di dunia dan keabadian hidup di akhirat.

Intelektual

Intelektual bukan bermakna seseorang itu harus mempunyai sijil menggunung atau bercakap menggunakan bahasa tinggi. Meningkatkan kemahiran, membaca buku, berbual bicara dengan individu hebat dan belajar dari pengalaman diri sendiri adalah antara cara untuk meningkatkan intelektual.

Kewangan

Jika ada yang berkata, "aku tidak mahu kaya, aku mahu hidup sederhana", dia hanya membohongi dirinya. Hakikatnya, hidup di dunia memerlukan wang. Malah, sebagai seorang muslim, kita seharusnya berusaha untuk menjadi kaya untuk membantu lebih ramai rakan muslim di mana jua mereka beada. Justeru, mulalah melabur. Lagi muda lagi bagus.

Keluarga

Keseimbangan hidup juga harus meliputi keluarga. Mereka adalah kelompok terdekat yang perlu disayangi dan menyayangi kita.

Karier

Kita juga harus memberi yang terbaik pada karier. Sebaik-baiknya, tugas yang dilaksanakan itu bukan berpaksi pada imbuhan semata-mata. Memang betul kita bekerja untuk mendapatkan duit, namun jangan jadikan duit sebagai satu-satunya tujuan kita bekerja. Kita mahu lakukan tugas itu dengan amanah dan sehabis baik. Barulah berkat duit yang kita dapat.

Komuniti

Hubungan baik dengan Allah harus seiring dengan hubungan baik sesama manusia. Ramai antara kita yang 'amat sibuk' bekerja sehingga terlupa bahawa kita hidup dalam komuniti masyarakat. Mereka adalah jiran, rakan sekerja, orang yang kita temui semasa menunggu bas, pembekal, rakan-rakan dalam facebook/twitter dan sebagainya.

Sekali pandang seperti "banyaknyaaa..." untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup. Namun, apabila saya temui individu-individu hebat, kebanyakkan mereka memiliki kelapan-lapan aspek ini dalam hidup mereka. Justeru, jika saya ingin mencapai misi becoming the best I can be and live life to the fullest, saya juga perlu seimbang dalam kelapan-lapan aspek ini.

Saya menyeru rakan-rakan sekalian untuk sama-sama be best and live life to the fullest. Berubah menjadi diri kita yang terbaik dan menikmati hidup yang cemerlang, tiada ruginya. Malah, lebih manis dan berkat hidup apabila kita mempunyai kelapan-lapan aspek ini dalam hidup. Yuk! Kita mulakan hari ini :)

Untukmu Adam dan Hawa


Adam...

Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,

Gagah perkasa seperti Badang,

Kau gunakan Hawa sebagai umpan,

Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa...

Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,

Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,

Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,

Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.



Adam...

Kadangkala kekacakan yang ada padamu,

Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,

Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,

Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.



Hawa...

Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,

Kau harus ambil kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,

Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,

Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.



Adam...

Kata-kata manis nistamu bisa menggoda hati Hawa,

Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,

Lembutmu dalam berkata membuatkan Hawa senang mendekatimu,

Sikap prihatinmu membuat Hawa tergilakan perhatianmu.



Hawa...

Sikapmu yang tidak endah menjadikan Adam berani terhadapmu,

Berani mengambil kesempatan untuk menyentuh maruahmu,

Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,

Hingga kau pun hanyut dalam dunia cinta palsu.



Adam...

Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,

Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,

Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsumu,

Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.



Hawa...

Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,

Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,

Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,

Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.



Oleh itu Adam...

Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,

Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,

Kau harus teruskan perjuanganmu menentang hawa nafsumu,

Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.

Adam...



Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani,

Supaya Hawa takut untuk menggoda dan mendekati,

Supaya syaitan tidak membisikkan godaan nafsu durjana,

Agar kau bisa menjadi pemimpin dan ketua yang diidami Hawa.



Begitu juga Hawa...

Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,

Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,

Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,

Agar kau suci terpelihara saat Adam menyuntingmu.



Hawa...

Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,

Namun...itu bukanlah yang Adam harapkan,

Adam mengharapkan Hawa yang berpegang teguh pada agama sebagai penyuci kalbu,

Adam juga menginginkan Hawa yang sopan dan memelihara aurat dalam berpakaian.

Dan

Untukmu Adam :

Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam agama yang bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan dan nafsu yang boleh membinasakan.

Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa.

Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara maruah diri untuk orang tercinta yang sah bergelar isteri.

Jadilah juga Adam yang boleh menjadi ketua keluarga, imam dalam solat berjemaah dan pemimpin agama seperti yang diingini oleh Hawa.

Untukmu Hawa :

Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak terpuji dan baik hati. Jadilah Hawa yang menjaga aurat dan maruah diri dari sewenang-wenangnya dilihat ajnabi.

Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk seorang yang sah bergelar suami.

Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri yang solehah serta hamba Allah yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidamkan oleh Adam.

cita-cita


My ambition adalh nak jd mcm ayah aku enginer electrical seronok gak ar jd mcm ayah aku ni cuma kene bnyk sabar......tp klu x tercapai klu dpt impian lain nak wak cm mana kita merancang allah yang akan menentukan kan masa depan kita......